Friday, 22 November 2013

Adakah ini takdirku 28


 Dari  masuk kereta tadi Syuhada hanya mendiamkan diri dan apabila sesekali Khalijah bertanya dengannya baru dia menjawab. Syuhada duduk di tempat duduk belakang, selepas apa yang berlaku dia lagi bertambah kaku apabila berhadapan dengan Khairil Qushairy dan dadanya terasa sesak dan berdebar-debar, dia sendiri tidak tahu mengapa jadi begitu.

Pada mula ingatkan hanya sekadar keluar ke pekan Bangi sahaja tetapi khairil Qushairy mengajak pergi ke Kuala Lumpur dan di sana senang hendak cari tempat yang boleh melepak lama katanya. Boleh pula dia ajak lepak di concorde hotel. Mungkin dia rasa di situ lebih privasi untuk mereka berbincang.

"Kenapa dua-dua diam ni? kata hendak berbincang..." Khalijah menegur khairil Qushairy dan Syuhada. Syuhada hanya duduk diam dan sedikit menunduk, hendak-hendak lagi apabila khairil Qushairy duduk bertentangan dengannya.

"Hada ok ke?" Khairil Qushairy akhirnya membuka mulut dan bertanya Syuhada dahulu.

"Hmm.. Ok." Syuhada menjawab sepatah, tetap tidak mendongak bila dia menjawap pertanyaan Khairil Qushairy.

"Abang nak minta maaf jika apa yang telah mummy suarakan kepada Hada dan ianya menganggu fikiran Hada." Khairil Qushairy berkata perlahan sambil kedua tangannya di letakkan di atas meja dan di genggam kedua-duanya.

Mereka duduk di sudut restoran dan di dalam restoran pun tidak ramai pengunjung. Khalijah hanya duduk bersandar dan bermain dengan telefonnya. Dia memang tidak mahu masuk campur dalam perbincangan mereka berdua ini. Dia sekadar peneman dan pendengar.

"Hmmm... Lebih kuranglah, Tapi... Hada tak tahu apa nak cakap... Sebab benda ni tiba-tiba sahaja, Hada buntu." Syuhada berterus terang kepada khairil Qushairy apa yang dia rasakan sekarang ini.

"Abang faham... Abang sendiri pun tak sangka yang mummy boleh bertindak begitu sekali." Balas khairil Qushairy. Khalijah masih menumpukan matanya kepada telefon tetapi sesekali dia melarikan matanya memandang mereka berdua, di dalam hatinya hendak tergelak pun ada apabila melihat kegugupan Syuhada. Hilang terus brutal minah ini.

"Abang pun tidak memaksa Hada untuk menerimanya tetapi Hada fikirkanlah mana yang terbaik untuk diri Hada." Khairl Qushairy berkata lagi setelah melihat Syuhada membisu.

"Hada... Hada memang sayangkan Izara tetapi Hada tak rasa yang Hada boleh menjadi ibu yang baik untuk dia." Syuhada berkata sayu.

"Abang tahu dan abang boleh nampak kasih Hada kepada Izara, abang pun memang tidak kisah." Khairil Qushairy berkata.

"Hada tahu Abang pun masih sayangkan Arwah kak Tini dan tak mungkin Abang boleh menerima Hada di dalam hidup Abang." Syuhada berterus terang lagi,dia cuba untuk memandang Khairil Qushairy ketika berkata tetapi debaran yang melanda apabila dia bertentang mata dengan Khairil Qushairy membuatkan dia mengalihkan pandangan dengan memandang ke arah lain.

"Ehhh... Abang Que! Hada!... Ija nak pergi toilet kejap." Tiba-tiba khalijah memotong perbincangan mereka berdua dan dia terus berdiri.

"Lahhh... Kau nie..." Syuhada terus memegang lengan baju Khalijah, dia tidak mahu khalijah meninggalkan dia sendirian, dia dapat rasakan yang Khalijah hanya memberi alasan ke tandas kerana hendak meninggalkan dia dengan Khairil Qushairy.

"Kau ni.. Abang Que ada sini... Aku nak pergi toilet sajalah." Kata khalijah tetapi dia sebenarnya memang hendak memberi ruang kepada mereka berdua.

"Yelah... Cepat sikit." Syuhada berpesan. Khalijah pergi meninggalkan mereka dan panjang juga leher Syuhada melihat kemana tuju langkah Syuhada dan memang benar dia menuju ke tandas.

"Hada! memang benar abang sayangkan Arwah, tetapi dia lebih di sayangi Allah, abang memang tidak pernah melupakan dia kerana dia juga pernah menjadi isteri abang tetapi sekarang ianya hanya tinggal kenangan...  Macam yang Mummy katakan orang yang telah pergi biarkan ianya pergi dan kita yang hidup ini kena teruskan kehidupan, Arwah adalah masa lalu abang." khairil Qushairy berkata sambil memandang kepada Syuhada.

"Apa maksud Abang Que?" Syuhada seperti tidak mengerti apa yang cuba di luahkan oleh khairil Qushairy.

"Maksud Abang... Sudah tiba masanya abang memerlukan seorang di sisi abang dan ibu kepada Izara, Abang kasihan melihat Izara membesar tanpa kasih sayang seorang ibu."Khairil Qushairy menerangkan maksudnya tadi. Syuhada terdiam apabila Khairil Qushairy berkata begitu.

"Maafkan Abang sekali lagi jika apa yang abang katakan ini mungkin Hada akan salah anggap dengan abang." Khairil Qushairy harus meluahkan juga sesuatu kepada Syuhada.

"Kenapa?" Syuhada bertanya dan memandang pelik ke arah Khairil Qushairy kemudian dia larikan pandangan matanya semula.

"Sebenarnya abang sudah mula jatuh suka dengan Syuhada dan abang cuba menafikan perasaan ini, tetapi tetap tidak boleh. Abang pun tidak sangka yang Mummy pula boleh ada rancangan untuk menyatukan kita. Tetapi terus terang abang katakan Mummy tak tahu pun perasaan abang terhadap Hada ini dan abang pun tidak pernah menyuarakan kepadanya." Dengan machonya Khairil Qushairy meluahkan perasaannya kepada Syuhada, dia rasa adalah lebih baik dia selesaikan segala perasaannya terhadap Syuhada pada malam ini juga.

"Apa? Apa yang Hada dah buat sehinggakan Abang sukakan Hada." Syuhada terkejut dengan pengakuan khairil Qushairy.

"Hada tak ada buat apa-apa, tetapi dah perasaan ini tiba-tiba terbina... Abang pun tidak pasti semenjak bila terjadinya perasaan ini." Terang Khairil Qushairy lagi.

"Abang Que!" Syuhada termati kata-kata dan dia terasa sebak lalu bergenang airmatanya kerana dia tidak sangka bahawa sepupunya sendiri boleh ada perasaan dengannya.

"Hada! Abang tidak memaksa Hada untuk menerima abang. Kalau Hada tidak boleh terima semua ini pun Abang redha, nanti abang boleh terus terang dengan Mummy." Khairil Qushairy memujuk Syuhada supaya dia dapat bertenang, risau juga dia jikalau ada orang melihat dia telah membuat perempuan menangis, kadang-kadang orang suka menuduh dengan hanya melihat tanpa mereka pasti perkara yang sebenar yang berlaku.

"Kitakan sepupu... Macam mana Hada nak ada perasaan begitu dengan Abang Que." Syuhada berkata lagi, di sapunya airmata yang meleleh tiba-tiba itu.

"Abang tahu Hada... Tapi Hada tenang... kadang-kadang perasaan itu datang dengan sendiri, mungkin Abang suka dengan Hada kerana kasih sayang yang Hada curahkan kepada Izara dan keakraban Izara dan Hada... itu yang lagi buat abang tertarik dengan Hada. Abang pun lupa untuk bertanya dengan Hada... Apakah Hada sudah ada sesiapa yang di hati Hada... Kalau ada abang rela mengundurkan diri dan perasaan ini akan abang tepis sedikit demi sedikit." Khairil Qushairy berkata dengan perlahan dan sememangnya dia tidak mahu memaksa Syuhada jika Syuhada menyukai atau menyintai orang lain.

"Tak! Hada tidak ada sesiapa di dalam hati ini... Hada memang tiada teman lelaki pun." Syuhada berterus terang.

"Syukur Alhamdulillah... Abang ingatkan abang sukakan hak orang lain tadi." Khairil Qushairy mengukir sedikit senyuman apabila Syuhada menafikan.

"Abang Que... Bagilah Hada masa untuk memikirkan hal ini, Hada memang tidak boleh beri kata putus tentang perkara ini sekarang." Syuhada buntu dan tiada keputusan yang boleh di berikan, fikirannya kosong sekarang ini.

"Terpulang kepada Hada... Abang tidak kisah... Tetapi terus terang abang katakan yang abang memang sudah sukakan Hada... Dan Abang boleh terima Hada bila-bila masa sahaja... Tetapi abang tidak akan memaksa Hada untuk menerima Abang jikalau Hada tidak boleh menerimanya.” Kata-kata Khairil Qushairy seperti orang yang hampir tewas.

"Maafkan Hada Abang Que... Tolong bagi Hada masa..." syuhada merayu kepada khairil Qushairy, dia tidak menyangka apa yang di katakan oleh Khalijah sebelum ini adalah benar, bagaimana dia boleh buta dalam menafsir rahsia hatinya sendiri, rupa-rupanya dia memang menyukai Syuhada.

"Tak perlu minta maaf dengan Abang… Hada!... Abang yang perlu minta maaf dengan Hada kerana perkara ini. Terus terang Abang katakan jikalau Mummy tidak bangkitkan hal ini Abang memang tidak akan berterus terang dengan Hada tentang perasaan Abang ini. " Terang Khairil Qushairy lagi.

“Bagaimana Hada nak terima Abang Que… Sedangkan Hada tak cintakan dan tak ada perasaan itu terhadap AbangQue.” Syuhada berterus terang lagi.

“Hada… Cinta boleh di pupuk selepas kahwin juga. Tak semestinya sebelum berkahwin kita kena bercinta dulu.”Khairil Qushairy berkata.

“Susah Abang Que… Memang susah.” Syuhada mengeluh. Lelah rasa dirinya memikirkan perkara ini. Syuhada pun tidak sangka yang Khairil Qushairy sebenarnya mengharapkan Syuhada menerima dirinya.

“Maafkan abang sekali lagi Hada kerana dalam tak sedar abang telah mendesak Hada… Abang berani menyuarakan hasrat hati ini semuanya kerana semangat yang Khalijah berikan pada Abang, dia juga yang memaksa Abang untuk mengaku sama ada Abang benar-benar menyukai Hada… Tak sangka dia tu macam doktor love pula, boleh menilik perasaan orang.” Khairil Qusyairy ketawa apabila mengenangkan gelagat Khalijah, Syuhada turut tersenyum apabila Khairil Qushairy berkata begitu.

Apabila Khairil Qushairy menyebut nama Khalijah baru Syuhada teringatkan Khalijah yang katanya dia ke tandas. Syuhada terfikir lamanya dia ke tandas, Syuhada tertinjau-tinjua mencari kelibat Khalijah... Rupa-rupanya dia duduk di meja lain yang tidak jauh dari mereka tetapi sedikit tersuruk. Syuhada melambaikan tangan memanggil dia. Khalijah datang juga apabila melihat Syuhada sudah berdiri.

"Ehhh... dah habis berbincang ke?" Khalijah bertanya.

"Dah..." Syuhada menjawab pendek.

"Abang Que... Penat jadi tukang teman nie tahu... Takkan minum saja... Belanjalah Ija makan." Khalijah sudah mula komplen dan minta makan.

"Dia duduk diam tak bercakap pun boleh lapar." Khairil Qushairy menegur Khalijah.

"Mestilah... Upah tau sebab jadi saksi memori daun pisang kau orang berdua tau." Khalijah sudah mula mengusik dan merapik.

"Banyaklah kau punya memori daun pisang." Syuhada menegur khalijah dan menjeling kepadanya.

"Betullah... kau tak ingat lagu dangdut Iwan dan Amalina tu... kenangan malam minggu waktu jalan-jalan..." Khalijah sudah mula menyanyi.

"Dah sudah... Tak payah nak buat free karaoke dekat sini." Khairil Qushairy menahan Khalijah dari terus menyanyi.

"Alah... Ija nyanyi untuk Abang Que dengan Hada je kan." Khalijah ketawa kerana dapat mengusik mereka berdua.

"Dah kalau nak makan panggil waiter tu cepat... Kalau tak karang abang angkat kaki... jangan nak bising-bising." Khairil Qushairy membebelkan Khalijah, dia tahu sangat dengan adiknya seorang ini cukup kuat mengusik.

"Hada tak nak makan ke?" Khairil Qushairy bertanya kepada Syuhada apabila dia tidak mahu memesan apa-apa makanan.

"Tak apalah Hada masih kenyang lagi... Ni coffee pun tak habis lagi." Sebenarnya selera dia hilang, rasa macam tak enjoy makan apabila perasaan dan hati sedang runsing.

"Betul ke... Abang order cake nak? tadi dekat rumah pun Hada bukan makan banyak." Khairil Qushairy sedikit memaksa kerana dia tahu yang Syuhada tidak makan betul-betul di rumah tadi. Semasa makan selepas maghrib tadi dia memerhati dan nampak yang Syuhada hanya makan beberapa suap sahaja.

"Haaa!" Syuhada tidak sangka begitu sekali prihatin Khairil Qushairy terhadap dia sehinggakan dia makan pun di perhatikan.

Khairil Qushairy memesan dua potong kek untuk dia dan Syuhada manakala khalijah memesan kueh teow goreng basah. Setelah pelayan mengambil pesanan Khalijah cepat-cepat berkata.

"Amboi Abang Que! sampaikan Hada makan pun abang boleh perhatikan... Betul punya sayang nie." Syuhada menjegilkan matanya kepada Khalijah apabila dia berkata begitu, nasib baik dia duduk di sebelah Khairil Qushairy, kalau dia duduk di sebelah Syuhada sudah pasti kena cubit.

"Ija nie... Abang terperasan saja lah." Khairil Qushairy tidak mahu Syuhada berasa malu jikalau dia tahu yang khairil Qushairy mencuri pandang padanya ketika mereka makan di rumah tadi.

"Iyalah tu..."Khalijah mencebik bibirnya.

"Cik Ija... Cik ketam kata dekat rumah nanti dia hendak jumpa kau." Syuhada berkata begitu maksudnya yang dia akan mencubit khalijah di rumah nanti.

"Alamak ! Hada kau kirim salam dekat Cik ketam tu... kau kata dekat dia yang aku cakap sorry." Khalijah mengusik Syuhada dan tersenyum lagi.

"So... Sudah ada kata putus." Khalijah bertanya sambil memandang mereka satu persatu.

"Biar Hada buat keputusan dia dulu... Dia juga perlukan masa, Abang tak mahu memaksa." khairil Qushairy berkata sambil terus menyandarkan badannya ke kerusi sambil memandang Syuhada, dia mengeluh perlahan-lahan.

"Hada! kau tak suka Abang aku ni ke? Punyalah macho dan segak mamat senget sebelah aku nie pun kau boleh tak terima dia." Khalijah terus bertanya kepada Syuhada.

"Apa mamat senget?" Khairil Qusyairy sedikit tersentak apabila Khalijah mengelarkan dirinya begitu.

"Hahaha... Relak lah Abang Que... Betul apa?" Khalijah tersenyum kepada Khairil Qushairy dan Khairil Qushairy hanya mengeleng dengan keletah Khalijah.

"Ija... Aku tidak boleh hendak memberi kata putus dalam waktu yang terlalu singkat begini... Aku perlukan masa. " Syuhada berkata perlahan.

"Aku faham... Tapi aku harap kau sudilah terima lamaran Mummy dan abang Que... kalau tak… Ada orang tu boleh tembus merenung siling nanti." Khalijah berkata dan sempat juga dia mengusik Khairil Qushairy, tergelak juga Syuhada apabila Khalijah berkata begitu.

"Kurang Asam betul budak sorang ni... Pandai-pandai je kata Abang renung siling." Khairil Qushairy mencubit pipi khalijah.

"Adoi... Sakitlah." Khalijah menepis tangan Khairil Qushairy. Bukan orang kalau frustrated dia suka renung merenung siling, pintu, dinding ke?” Khalijah bertanya lagi.

“Itu Ija je kut.” Syuhada pula yang berkata.

“Ewah! Baking nampak.” Sekali lagi Khalijah mengenakan Syuhada.

Belum sempat Syuhada membalas, makanan yang di order pun sampai. Hendak tak hendak syuhada terpaksa juga makan kek yang telah di order oleh khairil Qushairy untuknya. Dia paksa juga dirinya untuk menghabiskan sepotong kek itu, dia tidak mahu membazir. Walaupun selera berkurangan dia makan sedikit-sedikit sehingga habis. Selesai makan mereka bergerak pulang hampir ke pukul satu setengah malam.

#######################

Selesai solat subuh Syuhada menghantar sms kepada Khairil Qushairy. Dia meminta untuk bercuti beberapa hari, Syuhada rasa dia memang memerlukan cuti untuk menenangkan fikirannya yang sedang berserabut ini. Khairil Qushairy membalas dan dia mengizinkan Syuhada untuk bercuti dan katanya dia izinkan juga jika Syuhada ingin bercuti seminggu, dia juga memahami keadaan Syuhada sekarang ini.

“Ija! Aku tak balik tau… Aku minta cuti dengan Abang Que.” Syuhada memberitahu kepada khalijah sambil berbaring di sebelah Izara.

“Laaa… Kau ok tak ni.” Khalijah bertanya dia risau juga melihat perubahan Syuhada dari semalam.

“Aku ok.. Alhamdulillah… Cuma aku perlukan sedikit masa dan tenangkan fikiran aku nie.” Syuhada berkata sambil baring menelentang dan satu tangan di letakkan di atas dahinya sambil matanya memandang ke arah siling.

“Aku faham Hada… Apa kata kau cuba pergi tenangkan fikiran kau ni di tepi pantai ke… Di sana kau mungkin akan dapat sedikit ketenangan.” Khalijah memberi cadangan kepada Syuhada.

“Tengoklah Hada.” Jawab Syuhada.

“Alah… Kau pergi yang dekat Port Dickson pun dah cukup, Tak jauh sangat… Kau duduk dua tiga hari dekat situ.” Cadangan yang agak bernas yang di beri oleh Khalijah.

“Hai kau ni… Dah macam pakar kaunseling pula ya.” Syuhada berkata sambil tersenyum.

“Aku bagi kaunseling dekat kau je… Tapi kau dengarlah cadangan aku ni… InsyAllah mungkin semasa di sana kau akan mendapat jawapannya.” Tutur Khalijah lagi.

“Thanks ija… Nantilah aku fikir-fikirkan.” Balas Syuhada lagi.

“Dah aku nak siap ni… Barang-barang anak kau tu tolong kemaskan sekali, Sian anak kau ni nanti… Mama dia tak ada sebab nak cari ketenangan.” Khalijah berkata sambil memandang ke arah Izara yang masih lena.

“Kau ni… kalau tak mengenakan aku tak sahkan.” Syuhada terus mencubit lengan Khalijah, tetapi bukan kuat sangat pun cubitan itu.

“Adoi!! Sakitlah mangkuk.” Khalijah sedikit terjerit.

“Kau nak mangkuk… Kejap aku pergi ambil dekat dapur, pinggan sudu semua kau hendak tak?” Syuhada memerli Khalijah sambil menjeling.

“Hehhh… kereklah lu minah… Sensitive betul semenjak dua menjak kau ni kan… Mengalahkan orang menopouse.” Khalijah berkata sambil mengosok lengannya yang di cubit oleh Syuhada.

“Kau juga yang buat aku lagi pening... Sapa suruh lebih-lebih.” Syuhada berkata antara marah dan tidak, Dia pun bukan ada niat pun untuk marahkan Khalijah mungkin kerana masalah yang terbeban di kepalanya ini yang membuatkan dia sedikit sensitive.

“Alah sorry lah Hada… Aku sekadar bergurau, ok aku tak sakitkan hati kau lagi ya.” Khalijah memujuk dan meminta maaf kepada Syuhada.

“Ehhh… Tak ada apa-apalah… Aku pun nak cakap sorry sebab tiba-tiba terkasar dengan kau. Aku tak ada niat pun.” Syuhada pun turut meminta maaf kepada Khalijah di atas keterlanjuran dia memarahi Khalijah.

“Dah..Dah… Kau tak payah nak fikir lebih-lebih… Kemaskan saja barang Izara. Nanti dia bangun aku mandi dan siapkan dia.” Khalijah berkata sambil memaut bahu Syuhada. Dia faham perasaan syuhada dan dia pun sedar kesilapan dia yang sudah terlebih-lebih menganggu perasaan syuhada.

“Hmmm… Ok lah.” Syuhada mengambil botol susu Izara di bawa ke dapur untuk di cuci.

Di dapur sudah ada yang sedang bersarapan, di dalam kelompok mereka bersarapan Khairil Qushairy turut ada sama, dia sempat bertentang mata dengan Syuhada sekejap apabila Syuhada melintasi meja makan untuk ke dapur, Dia hanya mencuri-curi pandang kepada Syuhada dan dia nampak wajah Syuhada seperti orang yang kurang bermaya. Khairil Qushairy berasa kasihan pula terhadap Syuhada.

Datin Roziah bangun dari meja makan dan membawa piring kuih yang telah di gunakan untuk di letakkan di sinki, Dia ingin bercakap sesuatu dengan Syuhada kerana malam tadi dia tidak berkesempatan untuk berbual bersama Syuhada kerana mereka sampai ke rumah sudah tengah malam.

“Kamu ok ke Hada? Mak long tengok macam orang tak cukup tidur saja kamu ni?” Datin Roziah bertanya kepada Syuhada yang sedang mencuci botol susu Izara.

“Hada ok Mak Long… Mungkin sebab malam tadi tidur lewat kut… Tu yang terasa penat sedikit.” Syuhada memberi alasan, pada hal memang dia tidak berapa lena selepas balik dari perbincangan dengan Khairil Qushairy malam tadi.

“Kamu jangan bohong dengan Mak Long… Tapi tak apalah, Kamu berehatlah.” Datin Roziah berkata sambil memegang bahu Syuhada.

“Mak Long!” Syuhada memanggil Datin Roziah kerana dia sudah hendak bergerak masuk ke dalam.
“Iya Hada.” Datin Roziah berpaling apabila Syuhada memanggilnya.

“Hada tak balik hari ini, Hada minta cuti dengan Abang Que dah… Hada perlukan masa Mak Long.” Syuhada berkata perlahan.

“Tak pa… Tak pa… Mak Long faham… Kamu buatlah apa saja keputusan, Mak Long tak kisah… Mak Long pun tidak memaksa kamu, Kamu jangan ada rasa serba salah pula tau.” Datin Roziah berkata sambil memegang tangan Syuhada.

“Haa… Kak Rozi apa saja yang di bualkan dengan Hada tu.” Tiba-tiba Datin Roziah di tegur oleh Puan Rokiah.

“Haa…Hada cakap dia tak balik hari ini, dia cuti katanya.” Datin Roziah berkata perlahan kepada Puan Roziah.

“Ohhh… Ya ke? Dia dah minta dengan Que lah tu.” Puan Rokiah pula membalas.

“Dah…” Jawab Datin Roziah sepatah.

Syuhada sudah selesai mengemas barangan Izara dan sekarang ini Izara di mandikan oleh Khalijah. Izara terjaga semasa Syuhada sedang mengampai pakaian di belakang rumah. Keluarga besar Syuhada akan pulang ke rumah masing-masing dan mereka akan berkumpul semula pada hari Jumaat malam untuk keluarga Syuhada bertandang ke majlis di rumah Sufian di melaka pada esok hari nanti.

Khairil Qushairy sudah siap menyimpan bag pakaian dia dan Izara ke dalam kereta, masing-masing bersalaman untuk pulang. Khalijah bersedia untuk mengambil Izara dari dukungan Syuhada tetapi Izara menolak tangannya. Kemudian Khairil Qushairy pula cuba untuk mengambilnya, pun di tepis oleh Izara. Dia seperti tahu yang dia akan meninggalkan Syuhada dan di pautnya leher Syuhada kerana tidak mahu lepas. Syuhada membawanya ke kereta Khairil Qushairy dan semasa Khalijah sudah masuk ke kereta dan dia memujuk Izara untuk masuk sama. Izara teruja dan dia masuk duduk di pangkuan Khalijah, cepat-cepat Syuhada menutup pintu kereta dan berdiri melihat mereka untuk pulang. Tetapi Izara menangis apabila melihat Syuhada berdiri di luar dan tidak masuk. Khalijah cuba memujuknya manakala Syuhada bergenang juga airmatanya apabila melihat Izara menangis hanya kerana mahukan dia. Khairil Qushairy terus menghidupkan enjin kereta dan terus melambaikan tangannya kepada semua. Akhirnya Syuhada hanya memandang kereta itu pergi tetapi di dalam hatinya terasa sedih apabila mengenangkan Izara. Syuhada lagi terasa sedih kerana badan Izara terasa seperti sedikit panas. Izara sudah mula hendak demam, sempat juga Syuhada memberikan dia ubat tadi. Bekalan ubat Syuhada memang ada di bawa bersama itupun Datin Roziah sudah berpesan awal untuk membawa paracetamol untuk bekalan.

#################

“Buzz… Buzz…”Bunyi panggilan masuk ke telefon Khalijah.

“Sapa pula yang telefon nie…” Khalijah mengomel sendiri sambil bangun dari katil dan mengambil telefon yang terletak di meja kerjanya.

Hello! Assalamualaikum.” Khalijah memulakan salam kerana tertera di skrin telefon nama Zakuan.

Walaikumusalam… Awak busy ke?” Zakuan bertanya.

“Tak lah juga, saya baru balik dari rumah sepupu di Bangi.

Bangi?”

“Hmmm… Kan hari tu saya ada cerita pasal kakak sepupu saya bakal berkahwin, ala Syuhada yang Doktor jumpa di rumah saya tempoh hari.”

“Ohhh… Ya saya ingat dah.”

“Aik… Adakah kerana faktor usia Doktor dah jadi pelupa…Hihihi”

“Iyalah kut… Tulah kan umur dah meningkat tapi tak kawin-kawin lagi saya ni.”

“Ehhh… Komplen nampak… Carilah cepat… Lagi cepat Doktor cari lagi cepat Doktor boleh kawin.”

“Khalijah! Berapa kali saya cakap jangan panggil saya Doktor bila kita bukan di hospital.”

“Alamak… Sorry, terbiasa… Tulah.”

“Awak ni macam minta kena denda saja.”

“Ehhh… Ingat saya ni budak sekolah apa main denda-denda ni.”

“Denda ni tak kira budak sekolah atau tidak.”

“Yelah tu En Zakuan.”

“Petang ni awak free tak? Saya hendak ajak awak keluar sekejap.”

“Free tu memang free… Tapi saya penat sebab baru balik dari kendurikan.”

“Alah… Macamlah awak yang drive… just duduk dalam kereta dan saya yang drive… Tak akan penat pun.”

“Hehehe… Next timelah.”

“Nope… Today saya free, esok dah busy… Saya hendak awak temankan saya.”

“Lahhh… Mana boleh main paksa-paksa kalau saya tak mahu ikut.”

“Cik Khalijah… Saya baru sahaja menelefon Datuk Sahak untuk meminta kebenaran mengajak awak keluar petang ini.”

“Haaa… Macam tu sekali.”

“Yelah… Kan saya ada business card Papa awak tu… Ingat tak dia kata apa semasa dia berikan kad tu kepada saya.”

“Dia kata apa?”

“Kalau ada apa-apa hal or nak minta kebenaran mengajak awak keluar silalah call uncle.”

“Arghhh… Papa!”

“Hahahaha… Janganlah marah sayang… Saya Ikhlas mengajak awak keluar, itu pasal saya minta izin dia dahulu.”

“Ewah… Ewah… Apa sayang-sayang.”

“Amboi garang juga cik Ija saya ni.”

“Wow… Wow.. En Zakuan bila pula saya ni jadi hak En Zakuan.”

“Cik Khalijah… Since first date kita tempoh hari dan hari-hari yang bakal mendatang You’ll be mind.”

“Saya rasa awak tersalah ambil ubat ni kot… Tu yang merapu saja ni.”

“Ija! Saya memang serius hendak berkawan dengan awak dan saya hendak ajak awak keluar ni pun kerana ada perkara yang hendak saya bincangkan.”

“Cakap dalam phone tak boleh ke?”

“Nope… kena face to face. Saya ambil awak pukul empat nanti.”

“Ehhh… Saya tak kata hendak keluar pun… pandai-pandai saja tetapkan masa.”

“Saya tak kira… Saya sudah minta izin dengan Papa awak dan dia izinkan… So saya tetap akan datang dan ambil awak.”

“Ini dah kira paksaan… Saya kena report polis macam ni, kerana mungkin membahayakan saya.”

“Hahahaha… Janganlah salah sangka macam tu sekali Khalijah… please sweety please… Saya jumpa awak petang ni ya.”

“Yelah… Tapi sharp 4 o’clock awak tak datang… Saya tak nak ikut awak.”

“Ok… Saya promise pukul 3.59 saya akan sampai depan rumah awak… That’s my promise.”

“What ever… Ok… Assalamualaikum.”

“Walaikumusalam.”

Khalijah terasa geram dengan gurauan Zakuan, tiba-tiba dia berani meluahkan perasaan santannya itu. 

Khalijah terus keluar dari bilik dan turun ke tingkat dua untuk ke bilik Datuk Sahak.

“Tok… Tok…”

“Masuklah.” Suara Datin Roziah menyuruh masuk.

“Papa!” Khalijah terus masuk dan berhentak kaki siap dengan gaya merengetnya.

“Lah… kenapa pula perangai macam Syana ni.” Datin Roziah menegur dan kerana dia terkejut tiba-tiba Khalijah masuk dan merenget. Datuk Sahak hanya tersenyum dan dia faham kenapa Khalijah berkelakuan begitu.

“Mummy! Papa ni lah… Pandai-pandai saja bagi izin dekat Zakuan untuk bawa Ija keluar.” Khalijah berkata dengan muka masamnya.

“Dah dia minta izin… Papa bagilah.”Jawab Datuk Sahak selamba.

“Kok iya pun… Tanyalah Ija dulu… Nie tak… Papa just bagi izin macam tu saja.”Khalijah merungut lagi.

“Mummy tengok elok saja adap budak Zakuan tu… Dia sanggup telefon Papa kerana hendak minta izin bawa kamu keluar… Mummy pun perkenan dengan dia.”Datin Roziah turut menyokong Datuk Sahak.

“Mummy! Perkenan apanya.” Bengang sahaja Khalijah apabila Datuk Sahak dan Datin Roziah seperti menyukai cara Zakuan.

“Kalau kamu nak tahu… Papa tahu siapa Zakuan tu… Dia anak Dato Kahar.” Balas Datuk Sahak.

“Alahai… Dato kahar mana pula nie Papa.”Pening pula Khalijah apabila dah bersabit pula pasal bapa si Zakuan.

“Dato Kahar ni rakan club golf papa… Papa selalu pergi main golf dengan dia, papa tahu yang dia ada anak lelaki yang bertugas sebagai doktor, tetapi tidak sangka pula yang anak lelakinya itu si Zakuan. Tu Papa tanya dengan Zakuan dan dia pun mengaku yang dia adalah anak lelaki Dato Kahar.” Terang Datuk Sahak.

“Macam tu pula! Aishhh… Banyak songgeh betullah Zakuan ni.” Khalijah membebel sendiri, Datuk Sahak dan Datin Roziah berpandangan dan mereka tersenyum.

“Tak apalah Ija… Kamu berkawanlah dahulu dengan dia, Lagi satu kalau dia tidak suka dengan kamu, dia tak akan hendak telefon Papa nak minta izin mengajak kamu keluar.” Datuk Sahak seperti mengerti cara Zakuan yang berani menelefon dia dan beriya meminta izin untuk membawa khalijah keluar.

“Betul kata Papa tu Ija… Mummy rasa dia sukakan kamu tu, kamu tu janganlah nak jual mahal sangat… Dah ada orang hendak tu terima sajalah nanti, nanti kesian Mummy dengan Papa nak sara kamu samapai kamu tua pula.”Datin Roziah terkekek ketawa apabila dia dapat menyakat Khalijah.

“Eee… Ehhh… Mummy ni… Bila pula dia kata dia hendakkan ija ni,nak kata Ija jadi andartu lah tukan.” Khalijah memandang pelik kepada Datin Roziah, Khalijah sengaja berkata begitu padahal apa yang di katakan oleh Datin Roziah itu betul tinggal lagi Khalijah malas hendak ambil serious.

“Suka hati kamulah labu.” Datuk Sahak pula berkata dan dia ketawa lagi.

“Malaslah nak cakap dengan Mummy dan Papa ni… Tak kenal Zakuan tu betul-betul dah jatuh suka, Buatnya dia tu ada niat jahat ke dengan Ija… Mana tahu.” Khalijah sengaja berkata begitu kerana dia tidak mendapat sokongan dari mereka berdua.

“Dah… Tak payah nak bersangka buruk… kamu tu lapangkan minda dan buka hati tu… Terima Zakuan tu kalau dia ada meluahkan apa-apa pada kamu nanti.” Datin Roziah berkata lagi, sebenarnya Zakuan awal-awal lagi telah meluahkan hasrat hatinya kepada Datuk Sahak untuk berkawan dengan Khalijah dengan lebih rapat lagi.

“Eeee… Mummy ni… Zakuan ni pun satu… Tunggulah karang… Aku tembak juga dia ni.”Khalijah mengomel sambil membawa dirinya keluar dari bilik orang tuannya, Datuk Sahak hanya mengelengkan kepalanya melihat gelagat Khalijah.


Seperti yang di janjikan Zakuan datang menjemput Khalijah di rumahnya, Khalijah hanya mengenakan jeans dan blous labuh dan tudung sarung labuh kesukaannya. Walaupun santai tetapi dia tetap nampak cantik dan ayu kerana itu Zakuan tertarik kepadanya, bagi Zakuan Khalijah complete sebagai seorang wanita idamannya. Sopan, ayu, pandai menjaga maruah dan auratnya, Zakuan ada bercerita mengenai Khalijah kepada kedua orang tuanya dan Dato Kahar tidak sangka yang Zakuan berkawan dengan anak Datuk Sahak katanya lagi dia akan bertanya dengan Datuk Sahak sendiri mengenai anaknya itu.

5 comments:

  1. Akak,s sk sngt ngn ctr akak,slalu snggh nk cek n3,sk ngn ga bhs dn cr akak mnlis,x sbr nk tnggu nxt n3,hrp hada trima abg qi

    ReplyDelete
  2. Akak,klau lapang tu up n3 br yer

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyAllah... bakal menyusul... tunggu ya..

      Delete
  3. AKAK,jgn mrh na,sy snggh lg nk cek n3,nnti post pnjg2 tau

    ReplyDelete